arena

Woods 'ghairah' hadapi Augusta

Oleh AFP

TIGER Woods, yang merangkul empat gelaran Masters AS sebelum ini, sudah bersiap sedia menghadapi kejohanan di Augusta National itu April depan sejak Oktober lalu.

“Mungkin dah bermula sejak Oktober, November,” kata Woods awal pagi tadi apabila ditanya bila dia mula memikirkan mengenai kejohanan utama pertama bagi 2019.

“Memikirkan mengenai pukulan yang saya perlukan, kayu yang akan digunakan bagi kejohanan itu, apa jenis hayunan yang saya selesa atau sebaliknya.”

Sehubungan itu, kejohanan elit Kejuaraan WGC-Mexico minggu ini, yang mana Woods akan bertanding kali ketiga tahun ini, semuanya adalah sebahagian daripada perancangan menjelang Masters.

Jadual Woods sebelum Augusta National, yang mana Masters berlangsung dari 11 hingga 14 April depan bagaimanapun tidak begitu jelas.

Keputusannya bermain di Mexico menimbulkan persoalan mengenai empat kejohanan dalam minggu berturut-turut di Florida: Klasik Honda, Jemputan Arnold Palmer, Kejuaraan Pemain dan Kejuaraan Valspar di Innisbrook.

“Dari sini, ia agak rumit,” kata Woods. “Minggu depan di halaman sendiri buat saya, kemudian ada kejohanan yang saya menangi lapan kali.

“Kemudian satu lagi kejohanan yang saya menangi beberapa kali. Minggu berikutnya yang mana saya bertindak luar biasa tahun lalu. Jadi ia terlalu rumit.”

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 12:07pm
d