arena

Pemain TCFC rayu sertai Liga Perdana

Oleh Malik Muhamad

BEKAS pemain Terengganu City FC (TCFC), Shafuan Adli Shaari merayu belas ihsan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan 'talian hayat’ kedua kepada skuadnya untuk menyertai saingan Liga Perdana musim ini.

Shafuan mewakili rakan sepasukannya berkata, dia sudah berbincang dengan pihak pengurusan baharu skuad The Sharks itu sebaik mengetahui pasukan Perlis digugurkan daripada beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini berkuat kuasa serta merta semalam.

“Hasil perbincangan itu secara sebulat suara bersetuju untuk menyertai Liga Perdana musim ini bagi menggantikan skuad Singa Utara jika MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia menerima kami.

“Pemain dan pihak pengurusan TCFC serius dalam hal ini dan bukannya bercakap kosong, kami pun sudah ada sebahagian pemain, lagipun tempoh lanjutan buat pemain menyertai mana-mana pasukan sudah dilanjutkan selama 30 hari lagi.

“Kami tetap sedia beraksi walaupun sudah berlalu tiga perlawanan, sekarang FAM dah gugurkan Perlis, harap menerima TCFC beraksi dalam Liga Perdana bagi menggantikan slot pasukan itu, tidak ada masalah buat kami, harap FAM dan MFL dengar dan menerima kami menyertai liga itu atas belas ihsan,” katanya yang bersedia mengadakan pertemuan dengan MFL dan FAM untuk berbincang.

Pada 19 November 2018, juara Piala FAM musim lalu itu terpaksa berputih mata untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana musim ini selepas 'diharamkan’ oleh MFL walaupun mendapat tiket automatik susulan kedegilan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya.

Bagaimanapun pada Januari lalu, pengurusan baharu skuad TCFC itu berjanji sedia menjelaskan semua tunggakan gaji pemain dan jurulatih pasukan itu berjumlah lebih RM900,000 tetapi dengan syarat FAM dan MFL membenarkan pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Namun permintaan itu tidak dilayan badan induk bola sepak negara sekali gus bukan sahaja menyebabkan pemain `gigit jari’ tidak dapat beraksi dalam saingan liga divisyen dua itu malah sehingga kini masih belum menerima tunggakan gaji mereka.

TCFC meraih kejuaraan Piala FAM selepas menundukkan Selangor United 2-0 pada final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada September tahun lalu.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 6:05pm
d