arena

Badang negara nak juga

Oleh Azlan Muhammad Zain dan Mohamad Hussin

KUALA LUMPUR: “Jangan pandang sebelah mata, kami turut mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.”

Itu reaksi Mr Universe tiga kali, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang sependapat atlet juara dunia bukan tergolong daripada temasya Olimpik wajar diberikan pencen.

Atlet bina badan berusia 46 tahun itu menyambut baik cadangan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Nik Razeen Daud yang mahukan layanan sama rata termasuk aspek pencen kepada sukan yang tidak dipertandingkan di Olimpik.

“Saya sendiri sebenarnya tidak mendapat elaun bulanan dari Majlis Sukan Negara (MSN) walaupun sudah meraih tiga gelaran dunia dan empat kali meraih Mr Asia. Pelbagai alasan diberikan termasuk banyak kategori dipertandingkan.

“Jadi apabila SRAM tampil mencadangkan pencen kepada sukan yang tidak dipertandingkan di pentas Olimpik, saya melihatnya sebagai sesuatu yang amat wajar.

“Bukan saja kepada Datuk Nicol (David) dan saya sendiri namun kepada atlet yang sudah bergelar juara dunia. Kriteria pemilihan terpulang kepada pihak yang bertanggungjawab menentukannya namun biarlah nasib kami terbela dengan elaun tetap diberikan sepanjang hayat terutama apabila bersara nanti,” jelasnya yang bertanding dalam kategori sukan fizik.

Katanya yang turut dikenali sebagai Mike, terpulang kepada pihak berkepentingan untuk mengenakan syarat tertentu yang perlu dipenuhi seperti perlu bergelar juara dunia sebanyak lima kali atau sebagainya.

Nik Razeen menerusi laporan Arena Metro semalam berpendapat pencen wajar dipertimbangkan kepada Nicol, sama seperti atlet negara yang meraih podium di Sukan Olimpik dan Paralimpik.

Malah menurut beliau, atlet lain yang bergelar juara dunia turut perlu diberikan layanan sama rata.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bekas juara dunia skuasy Datuk Nicol David berhak menerima lebih daripada pencen sebagai imbuhan terhadap sumbangannya mengharumkan nama negara.

Enggan mendedahkan jumlah pencen atau insentif lain yang bakal diterima Nicol, beliau berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) masih berbincang dengan bekas ratu skuasy negara itu termasuk sebarang bantuan dan rancangan yang mahu dilakukan Nicol.

“Beliau berhak terima lebih daripada pencen memandangkan beliau adalah juara dunia lapan kali. Tetapi bentuk bantuan (yang akan diberi), biarlah dia sendiri yang umumkan. Kita beri ruang dan hormati untuk beliau umumkan sendiri, ” kata Syed Saddiq yang ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Konflik Kepentingan: Analisis dan Syor berhubung Pencegahan Naungan Politik dan Rasuah di Malaysia, di sini semalam.

Kelmarin, Syed Saddiq dilapor mengarahkan kementeriannya memberikan bantuan kepada Nicol dalam menjayakan perancangannya membangunkan sukan skuasy di negara ini.

Selesa lalu, Nicol yang menceburi sukan itu lebih dua dekad lalu mengumumkan​​​​​​​ bakal menamatkan kariernya pada Jun nanti, selepas musim jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2018/19 berakhir.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 7:01am
d