arena

Barca, Real elak letih menjelang Clasico

Oleh AFP

REAL Madrid dan Barcelona berdepan dua aksi Clasico dalam tempoh empat hari minggu depan namun dua musuh utama La Liga Sepanyol itu tidak begitu ghairah menjelang dua perlawanan itu sebaliknya terpaksa berhati-hati.

Barca bertandang ke pasukan tangga keempat Sevilla, malam esok manakala Madrid ke Levante awal pagi Isnin ini, apabila keutamaan, rehat dan penggiliran pemain menjadi penting dalam agenda mereka sekali lagi.

Pengurus Real, Santiago Solari memberi alasan keletihan susulan kekalahan terbaru pasukannya di laman sendiri kepada Girona, empat hari selepas mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Ajax, lapan hari selepas mengalahkan Atletico Madrid dan 11 hari selepas seri dengan Barca di Nou Camp.

“Keletihan bukan saja setakat fizikal, ia juga termasuk mental, ia menjejaskan tumpuan kami,” kata Solari.

“Jelas sekali kami tampil daripada tempoh penting dengan banyak perlawanan sukar. Kami perlu menanganinya kerana mungkin paras tenaga kami menurun pada separuh masa kedua.”

Girona gagal bersaing pada babak pertama namun menjaringkan dua gol pada babak kedua dalam tempoh 25 minit terakhir untuk menamatkan apa yang dilihat awalnya kebangkitan Real untuk mencabar kejuaraan.

Sebaliknya Barcelona kini mendahului sembilan mata di depan Real, tujuh berbanding Atletico dan jika sekalipun jurang itu rapat hujung minggu ini, masih ada ruang buat mereka membuat kesilapan menjelang aksi liga di Santiago Bernabeu.

Ketika itu, dua kelab gergasi itu sudah bertarung pada separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol di stadium sama, yang mana motivasi Real mungkin lebih memandangkan Barca menang piala itu empat kali berturut-turut.

Dilema buat Solari adalah merehatkan pemain tonggak menentang Levante memungkinkan risiko satu lagi kekalahan, ditambah dengan kemenangan Barca di Sevilla, sekali gus pasti menutup terus ruang buat mereka mencabar kejuaraan.

“Kami akan terus berjuang dalam tiga pertandingan yang mana kami masih berpeluang,” kata Solari. “Kami mesti terus mencuba untuk mengurangkan jurang.”

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 11:53am
d