arena

Agong tak pertahan jawatan Presiden AHF

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mahu dipilih semula selaku Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) pada kongres badan induk itu di Gifu, Jepun, hari ini.

Bagaimanapun, baginda berkenan untuk menerima lantikan selaku Penaung Diraja AHF.

Baginda sebelum ini juga sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkuatkuasa 24 Januari lalu.

Dengan perkembangan terbaru itu, jawatan Presiden AHF kini disandang oleh Datuk Fumio Ogura dari Jepun.

“Bukannya mudah untuk mengisi posisi yang dikosongkan Baginda Al-Sultan Abdullah.

“Kami amat berterima kasih atas kesungguhan Baginda dalam memimpin AHF dan atas sumbangannya selama ini,” katanya.

Malaysia mempunyai tradisi hebat dalam AHF sejak 1994 apabila Sultan Ahmad Shah diangkat sebagai presiden dan kemudiannya digantikan Al-Sultan Abdullah.

Kongres hari ini juga menyaksikan Datuk Manjit Majid Abdullah diberi mandat menggalas tugas selaku naib presiden AHF.

Manjit adalah Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) serta Timbalan Pesiden Persatuan Hoki Johor (JHA).

“Ini adalah penghormatan bukan saja untuk saya tetapi juga buat arena hoki Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 8:29pm
d