arena

PSG dan Accor jalin kerjasama

Oleh AFP

PARIS Saint-Germain (PSG) yang mendahului selesa dalam saingan Ligue 1 mungkin akan menjadikan sebahagian daripada stadium mereka sebagai hotel selepas menandatangani perjanjian baharu dengan gergasi perhotelan.

Juara Perancis itu yang mengumpul kelebihan 14 mata di puncak liga dan berada dalam kedudukan selesa untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, mengikat kontrak penajaan jersi dengan syarikat Perancis, Accor.

Presiden PSG Nasser Al-Khelaifi mengakui perjanjian itu mungkin akan menyaksikan penyokong-penyokong berpeluang bermalam di laman Parc des Princes, di tengah-tengah bandar Perancis.

“Kami boleh membayangkannya,” kata Al-Khelaifi berkenaan pembinaan hotel sementara di stadium PSG. “Accor boleh menggunakan ruang di stadium, membina hotel sementara di atas padang atau di belakang gol.

“Apabila tiada perlawanan, peminat mahu tidur di Parc des Princes! Banyak perkara yang boleh dilakukan.”

PSG Khamis lalu mengumumkan yang musim depan mereka akan menyarung jersi dengan logo ALL, program loyalti Accor, di mana syarikat yang mempunyai ibu pejabat tidak jauh dari Paris.

Bagaimanapun PSG tidak menyatakan tempoh perjanjian berkenaan atau berapa jumlah tajaan sebenar.

Perjanjian itu menamatkan kerjasama 13 tahun dengan syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai, Emirates yang mana turut menaja Real Madrid, Arsenal, Benfica dan Hamburg.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 9:56am
d