arena

Pertembungan musuh tradisi

Oleh AFP

PENYOKONG pasukan Manchester United begitu terdesak dan tidak rela Liverpool menjulang trofi Liga Perdana Inggeris pada musim ini sekali pun ia bermakna gelaran itu menjadi milik seteru tetangga, Manchester City.

Pasukan yang berada pada prestasi baik dibawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer ini mempunyai peluang merencatkan peluang Liverpool apabila kedua-dua pasukan bertemu esok dalam aksi yang dilihat lebih kepentingan daripada sudut sejarah berbanding pemburuan kejuaraan.

Perlawanan itu cukup penting bagi Liverpool yang memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding City, hanya perbezaan beberapa mata memisahkan pasukan itu dengan City pula berhadapan Chelsea dalam saingan final Piala Liga pada hari sama.

Walaupun berhadapan pasukan yang semakin meningkat naik dibawah kendalian jurulatih sementara Solskjaer, yang membawa pasukan itu berada di kedudukan empat teratas sejak mengambil alih pasukan dari Jose Mourinho yang dipecat selepas kekalahan 3-1 di Anfield pada Disember lalu.

Selama 26 tahun sebagai pengurus di Old Trafford, Sir Alex Ferguson berulang kali menyatakan pertemuan dengan Liverpool dianggap sebagai ‘pertemuan tetangga sebenar’ berbanding aksi dengan City.

Perasaan itu masih menebal di kalangan peminat kedua-dua pasukan walaupun City mencipta kebangkitan dengan memenangi gelaran Liga Perdana sebanyak tiga kali sejak 2012 dan menjadi kuasa besar di Manchester.

“Saya fikir kamu perlu melihat kepada permusuhan ini,” kata seorang peminat United, Rob Mager yang sudah 30 tahun menyokong kelab itu dan merupakan pereka grafik untuk kelab penyokong “United We Stand”.

“United dan Liverpool mempunyai sejarah tersendiri, dua gergasi dalam bola sepak Inggeris.

“Sejak bertahun-tahun, Liverpool adalah pencabar yang lebih perkasa berbanding Manchester City dan ia sememangnya sudah diterima.”

Di atas padang, permusuhan United dan Liverpool bermula sejak awal 1960-an dengan kedua-dua kelab berkenaan bersilih ganti menguasai saingan tertinggi di England dengan mengumpul 38 kejuaraan domestik dan lapan gelaran Eropah secara keseluruhan.

United tidak memenangi trofi Liga Perdana sejak 2013 dan secara realistik sudah terkeluar daripada pemburuan kejuaraan musim ini tetapi mereka pasti ‘gembira’ jika dapat menghalang Liverpool menjulang trofi sama yang kali terakhir dimenangi pada 1990.

Dengan United mengumpul 25 mata daripada 27 mata yang ditawarkan sejak ketibaan Solskjaer, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengerti ia mungkin perlawanan paling sukar buatnya.

“Ini adalah perlawanan yang besar dan kami tahu ia juga sukar,” kata Klopp. “Mereka berada dalam keadaan paling baik ketika ini. Mereka secara fizikal kuat, bertahan dengan baik dan menyerang dengan baik.”

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 1:54pm
d