arena

Joo Ven juara kebangsaan

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMILIHAN ke Kejohanan Berpasukan Campuran Asia bulan depan menyuntik semangat Soong Joo Ven selepas dinobatkan selaku juara baru kebangsaan di Arena Badminton Perak, Ipoh, hari ini walaupun rakan sepasukan, Leong Jun Hao berdepan masalah kecederaan.

Joo Ven mendapat kemenangan mudah selepas Jun Hao menarik diri ketika ketinggalan 1-7 di set kedua selepas masih lagi dibelenggu dengan kecederaan kaki terseliuh ketika aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 semalam.

Set pertama menyaksikan Joo Ven yang juga pilihan ketiga bermula dengan meyakinkan apabila menang 21-13.

Dalam aksi beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya muncul juara selepas mengalahkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 21-12, 21-19.

Hasrat perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei untuk merampas gelaran juara kebangsaan tidak kesampaian apabila kalah kepada pemain lebih senior, Soniia Cheah 10-21, 14-21.

Bagi beregu wanita pula, pilihan ketiga, Anna Cheong-Lim Chiew Sien tidak berdepan masalah untuk muncul juara selepas mengalahkan Cheah Yee See-Teoh Mei Xing 23-21, 21-17.

Pasangan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying muncul juara bagi saingan beregu campuran selepas mengalahkan Hoo Pang Ron-Shevon Lai 17-21, 21-13, 21-19.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 2:20pm
d