arena

Mbappe penjaring termuda raih 50 gol Ligue 1

Oleh AFP

KYLIAN Mbappe mencipta sejarah apabila muncul pemain termuda menjaringkan 50 gol dalam aksi Ligue 1 selepas dua kali menggegar gawang lawan ketika Paris Saint-Germain menewaskan Nimes 3-0, awal pagi tadi.

Dalam aksi berlangsung di Parc de Princes, Mbappe menjaringkan gol pada minit ke-69 dan 89 sekali gus membolehkan pendahulu, PSG menjarakkan kedudukan ke atas pasukan di tangga ke dua, Lille dengan 17 mata selepas pasukan itu hanya mampu seri 1-1 di Strasbourg, semalam.

Mbappe yang berusia 20 tahun merampas rekod kepunyaan Yannick Stopyra yang menurut data statistik, Opta berusia 21 tahun, 11 bulan dan sembilan hari ketika menjaringkan gol ke-50nya dalam aksi tertinggi pada 1982.

"Saya bekerja keras setiap hari untuk membantu pasukan sebaik mungkin,” kata Mbappe selepas tamat perlawanan.

"Bola sepak tetap menghiburkan bagi saya, menjaringkan gol dan memecahkan rekod adalah motivasi kepada saya dan saya sangat gembira.”

Christopher Nkunku membuka tirai jaringan pada minit ke-40 selepas mendapat hantaran cantik Marco Verratti dan jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol Paul Bernadoni dan kelemahan penyudah PSG, Nimes boleh tewas dengan jaringan lebih besar.

Bagaimanapun, Mbappe yang terlepas beberapa peluang pada babak pertama menebus kesilapan dengan menolak bola ke gawang untuk gol kedua pada minit ke-69 dan merembat kencang gol ketiga sembilan minit kemudian selepas mendapat hantaran Juan Bernat.

Mbappe kini mendahului carta jaringan dengan 22 gol dan keseluruhannya 51 gol dalam Ligue 1.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 9:24am
d