arena

PFA tetap gilap bakat muda

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PEMBANGUNAN bola sepak di peringkat akar umbi Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) tetap diteruskan meskipun badan induk itu kini sedang menghadapi kemelut dalam kancah Liga Malaysia.

Presiden Northern Lion FC (NLFC), Amran Hamid berkata, sebagai ahli gabungan PFA, pihaknya masih komited menjalankan tugas mengasah bakat bola sepak di setiap daerah bagi memastikan pembangunan sukan itu tidak lenyap di Perlis.

"Kami sebagai ahli gabungan, masih meneruskan aktiviti sukan dan pembangunan bola sepak diperingkat ahli gabungan.

"Malah kita dimaklumkan, bahawa pasukan dibangunkan oleh ahli gabungan layak menyertai sebarang liga anjuran MFL (Liga Bolasepak Malaysia) di masa hadapan sekiranya pasukan itu mampu dan memenuhi kelayakan meskipun kini PFA diambang penyingkiran.

"Walaupun kita tahu kemelut yang berlaku sedikit sebanyak memberi kesan kepada bola sepak negeri, namun untuk menyalahkan PFA seratus peratus adalah satu tindakan tidak wajar," katanya ketika ditemui dalam sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pembangunan Bola Sepak Remaja Perlis di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Perlis, malam tadi.

Sebelum ini, MFL membatalkan penyertaan PFA dalam kancah Liga Perdana berikutan pasukan Singa Utara kemungkinan tidak mampu bertahan sepanjang tempoh saingan liga berikutan tidak memiliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan.

Susulan itu, PFA dilihat hilang arah tuju dan banyak pihak membayangkan sukan bola sepak di negeri itu bakal lenyap berikutan keputusan penyingkiran oleh MFL terhadap skuad Singa Utara.

Amran berkata, selaku ahli gabungan pihaknya kini sedang giat mencari bakat bola sepak melalui Liga Remaja Perlis yang dijangka bermula antara Julai hingga Ogos ini bagi membentuk semula pemain negeri di peringkatnya.

"Kami akan teruskan agenda pembangunan bola sepak di negeri ini dan mahu kembalikan kegemilangan Singa Utara dalam jangka masa beberapa tahun ini.

"Jadi kami mengalu-alukan mereka yang berumur 25 tahun dan ke bawah untuk sertai liga ini," katanya.

Jumlah ahli gabungan PFA sebanyak 12 ahli yang terdiri daripada beberapa persatuan dan kelab bola sepak peringkat negeri dan antaranya ialah NLFC, Kelab Sukan IPK Perlis, Persatuan Bolasepak Wanita Perlis, dan Persatuan Pengadil Kangar.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 12:42pm
d