arena

Kerajaan negeri talian hayat terakhir PFA

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KERAJAAN negeri dilihat sebagai talian hayat terakhir buat Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) selepas badan induk itu menghubungi pejabat EXCO Belia dan Sukan Perlis untuk memohon bantuan sokongan.

EXCO Belia dan Sukan Perlis, Hamizan Hassan berkata, beliau dihubungi oleh jawatankuasa PFA baru-baru ini berhubung perkara berkenaan.

"Mereka ada menghubungi saya untuk membantu sokongan skuad Singa Utara merayu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk tidak menyingkirkan PFA dari saingan kancah Liga Perdana.

"Saya akan cuba memberi sokongan dan membuat rayuan kepada MFL esok agar memberi peluang pada PFA. Walaupun kita tidak mampu memberi sokongan kewangan, sekurang-kurangnya sokongan moral yang positif dapat membantu meringankan beban PFA," katanya ketika ditemui malam tadi.

Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mendapat 'talian hayat' selama tujuh hari untuk membuat rayuan berhubung tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan penyertaan berkuat kuasa semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan tempoh rayuan itu adalah prosedur biasa selepas sebarang keputusan dibuat. Mengulas mengenai tindakan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, Hamizan nyata terkejut dengan tindakan yang diambil oleh anak jati Tualang, Kedah itu.

"Malam ni (semalam) baru saya tahu dia (Ahmad Amizal) letak jawatan dan sehingga ke saat ni saya belum dapat apa-apa maklum balas daripada PFA berhubung tindakan beliau.

"Tindakannya yang meninggalkan PFA ketika pasukan itu sedang melalui fasa sukar ibarat mengulangi tindakan sama yang dilakukan oleh presiden terdahulu," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 12:52pm
d