arena

Tambadau belum boleh puas hati

Oleh Ryan Stanley

WALAUPUN mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana selepas menewaskan Sarawak 2-1 di Kuching, semalam, pengendali Sabah Jelius Ating menegaskan masih banyak lagi kelemahan yang perlu diatasi.

Jurulatih berusia 48 tahun itu berkata, bahagian tengah harus lebih kreatif untuk menjana bahagian serangan.

"Walaupun menang, saya lihat masih ada lagi kelemahan dan ianya perlu diatasi sekiranya mahu pergi lebih jauh. Selain bahagian tengah, kita juga perlu perbaiki disiplin terutama ketika mendahului kerana saya melihat mereka agak selesa dan ia menyebabkan kelekaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, sekiranya mereka mampu mengatasi semua masalah berkenaan, tugas untuk memenangi perlawanan akan lebih mudah.

"Kita akan mencari jalan mengatasi masalah ini dan kami juga akan cuba mengatasi masalah penyudah kerana walaupun kami menang, banyak peluang yang gagal disudahkan dengan baik," katanya.

Bagaimanapun, Jelius berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan anak didiknya sehingga berjaya memenangi perlawanan di gelanggang lawan.

Skuad Tambadau akan meneruskan saingan liga bertemu PDRM di Stadium Likas, Sabtu depan.

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 1:44pm
d