arena

Spurs kena bangkit: Kane

Oleh Reuters

PENYERANG Harry Kane menggesa Tottenham Hotspur supaya bangkit segera melupakan kekalahan 1-2 di tangan Burnley dalam Liga Perdana Inggeris apatah lagi mereka berdepan jadual padat selepas ini.

Spurs menentang musuh setempat London, Chelsea dan Arsenal secara berturut-turut dalam liga awal pagi Khamis dan Sabtu depan, sebelum berkunjung ke Borussia Dortmund bagi aksi kedua, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

“Kami berdepan minggu penting dan kami perlu melangkah sebaik mungkin. Ia tempoh genting buat kami dan kami sedar boleh memenangi perlawanan ini,” kata Kane dalam laman web rasmi kelab itu.

“Burnley mengecewakan tapi kami perlu mengorak langkah dan ia perlawanan besar menentang Chelsea selepas ini.”

Kane menyamakan kedudukan pada babak kedua menentang Burnley sekembalinya daripada kecederaan buku lali yang menyebabkannya terpaksa diketepikan hampir enam minggu.

Namun dengan tiga perlawanan penting dalam tempoh tujuh hari, pengurus Mauricio Pochettino mungkin tidak mahu mengambil risiko menurunkan Kane dalam setiap perlawanan sekalipun penyerang England itu berharap dia boleh bermain di Stamford Bridge pada pertengahan minggu.

“Kami berdepan minggu yang sibuk jadi kami perlu memulihkan diri,” kata Kane, yang menyumbat 21 gol dalam semua pertandingan musim ini.

“Terpulang kepada pengurus siapa akan diturunkan tapi harapnya saya boleh beraksi pada perlawanan berikut.”

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 10:17pm
d