arena

Gunners lonjak tangga keempat

Oleh Reuters

ARSENAL mengatasi Southampton menerusi dua gol awal babak pertama jaringan Alexandre Lacazette dan Henrikh Mkhitaryan di Stadium Emirates, London malam ini sekali gus melonjak kembali ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Arsenal mendahului pada minit keenam dalam suasana pelik apabila Lacazette menguis masuk dengan tumit susulan hantaran Mkhitaryan ketika rakannya masih merayu mendapatkan sepakan penalti selepas Lucas Torreira dijatuhkan dalam kotak penalti.

Tuan rumah menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-17 apabila penjaga gol Southampton, Angus Gunn, yang melakukan penampilan kedua dalam Liga Perdana, mengeluarkan bola dari kawasan bahaya tetapi singgah di kaki pemain Arsenal, Alex Iwobi.

Pemain tengah Nigeria itu meluru ke kawasan gol lawan dan melakukan hantaran silang kepada Mkhitaryan yang tidak dikawal, yang kemudian melakukan tendangan leret ke penjuru gol.

Lacazette patut meledak hatrik pada babak pertama namun dia mensia-siakan peluang itu.

Southampton bagaimanapun kelihatan jauh berbeza daripada pasukan yang menang aksi pertama di St Mary’s Disember lalu, mencatat hanya tiga percubaan pada babak pertama berbanding Gunners 11.

Mereka memasukkan Charlie Austin pada babak kedua untuk melihat sama ada dia boleh mengekalkan rekod jaringan menentang Arsenal setiap kali sejak dia bertemu mereka dalam liga, namun Saints gagal memecah kebuntuan.

Keputusan itu melonjakkan pasukan kendalian Unai Emery ke tangga keempat liga dengan 53 mata selepas Manchester United seri tanpa jaringan dengan Liverpool di Old Trafford.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 12:59am
d