arena

Tok Gajah serba tak menjadi

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mengakui segalanya serba tidak menjadi ketika skuad bimbingannya diikat Selangor 1-1 pada perlawanan keempat Liga Super, malam tadi. 

Keputusan seri itu jelas mengecewakan bekas jurulatih kebangsaan yang mengharapkan skuad Tok Gajah meraih tiga mata di laman sendiri. 

"Hanya 15 minit pertama perlawanan pemain mencipta banyak pergerakan tetapi selepas itu mereka hilang punca dan banyak asakan dilakukan berjaya disekat lawan. Selangor mengambil kesempatan terutama penyerang, Rufino Segovia yang memainkan peranan utama sehingga pertahanan pasukan goyah," katanya. 

Dollah berkata, skuad Tok Gajah berusaha bangkit dan turut mempunyai tiga peluang untuk menambah jaringan tetapi tidak berjaya. 

Katanya, ketiadaan Herold Goulon yang diperintah keluar padang kerana dilayangkan kad merah pada perlawanan berbaki 20 minit memberi tekanan. 

"Sepatutnya Selangor yang lebih tertekan tetapi sebaliknya yang berlaku sehingga kita terpaksa akur sekadar mengutip satu mata di tempat sendiri,” katanya. 

Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria minit ke-34 sebelum Red Giants menyamakan kedudukan di babak kedua hasil sentuhan Segovia minit ke-61.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 12:20pm
d