arena

Sathia puas bawa pulang satu mata

Oleh Asrol Awang

"BAGI saya, satu mata yang diraih begitu bermakna dengan persembahan dipamerkan sepanjang perlawanan biarpun mempunyai banyak peluang menjaringkan gol," kata pengendali Selangor, B Sathianathan.

Beliau turut memuji keupayaan pemainnya yang berjaya mengawal tekanan untuk mengutip satu mata selepas seri 1-1 dengan Pahang, malam tadi. 

Menurutnya, persembahan terbaik dipamerkan semua pemain terutama kapten pasukan, Rufino Segovia yang menjadi nadi utama skuad Red Giants. 

"Saya puas hati dan berterima kasih kepada pemain kerana pasukan ini beraksi dalam tekanan selepas mengharungi tiga perlawanan.  Walaupun tertekan, mereka berjaya menanganinya untuk memberikan yang terbaik.” 

Namun, Sathianathan berkata, skuadnya tidak boleh berbangga kerana bakal berdepan saingan getir bertemu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), Jumaat ini.  Katanya, kegagalan mengekalkan momentum sudah pasti memberi tekanan kepada Red Giants kerana selepas empat perlawanan mereka belum lagi mencapai kemenangan. "Oleh itu, saya harap pemain dapat meningkatkan prestasi kerana JDT sudah pasti mahu meneruskan rentak cemerlang mereka," katanya. 

Selepas empat perlawanan, Red Giants menduduki tangga kelapan liga dengan mengutip tiga mata daripada tiga keputusan seri dan tewas sekali.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 12:35pm
d