arena

Tebus 'dosa', balas dendam

Oleh Malik Muhamad

“DENDAM kami sudah pasti membara untuk menebus kembali kehampaan itu dan berharap menjadi realiti dan memberi kelebihan kepada kami beraksi di laman sendiri," menurut pertahanan import Terengganu FC )TFC), Igor Zonjic.

Kekecewaan pada final Piala Malaysia tahun lalu masih lagi berbekas dalam dirinya apabila tertampan bola ke gawang sendiri dan gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Bekas pemain skuad kebangsaan Montenegro bawah 19 dan 21 tahun itu bertekad mahu menebus kembali 'dosanya’ pada perlawanan itu apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

"Semestinya saya sasarkan kemenangan selepas tumpas dalam perebutan Piala Malaysia musim lalu yang juga kenangan pahit buat pasukan terutama saya yang tertampan bola ke gawang sendiri ketika kami sudah berada di ambang kemenangan merangkul piala berprestij itu."

Selain kental bertahan, pemain berketinggian 1.86 meter itu layak dilabel pakar tandukan apabila lima gol dihasilkan musim lalu berpunca daripada tandukan.

Malah tandukannnya pada minit ke-68 hasil sepakan sudut Lee Tuck membolehkan TFC mengutip mata penuh ketika menumpaskan Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Mengenai kekuatan pasukannya berbanding musim lalu, pertahanan tengah yang kerap bergandingan dengan Nasrullah Hanif Johan itu enggan mengulas sebaliknya percaya rakan sepasukannya mampu beraksi dengan baik.

"Saya tidak suka bandingkan kekuatan pasukan musim ini dengan musim lalu walaupun jurulatihnya sama, tapi TFC mempunyai pemain berkualiti seperti tahun lalu dan ia penting bagi pasukan dalam mengharungi kempen Liga M yang lebih mencabar ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 12:58pm
d