arena

Hafizh 'tak tidur' kenangkan sesi ujian

Oleh Saiful Affendy Sapran

SESUATU perlu dilakukan oleh pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menjelang pusingan pertama Kejohanan Motosikal Dunia di Grand Prix Qatar dari 8 hingga 10 Mac depan.

Selepas melengkapkan sesi ujian pra musim selama tiga hari di Litar Antarabangsa Losail, pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu menduduki tempat terakhir daripada 23 pelumba yang beraksi dengan catatan pada hari terakhir semalam agak memberangsangkan.

“Kami sedar bahawa kami masih agak jauh (berbanding pasukan lain) walaupun kami berjaya memperbaiki catatan.

“Saya mula memahami bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan jentera.

“Kami mencuba simulasi perlumbaan yang mana ia tidaklah terlalu teruk tetapi tidak juga terlalu pantas,” katanya.

Hafizh mengakui dia serta pasukan perlu lebih bekerja keras pada hari perlumbaan.

“Sama-sama kita saksikan apa yang boleh dilakukan. Sekarang saya cuba untuk memahami maklumbalas daripada jentera.

“Saya cuba menerangkan segala-galanya kepada pasukan dan mereka mula memahaminya.

“Secara berperingkat saya memperoleh keyakinan. Apapun banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, dua pelumba PETRONAS Yamaha SRT menunjukkan aksi meyakinkan terutama pada sesi ujian terakhir semalam.

Fabio Quartararo mencacat masa kedua terpantas di belakang pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales. Manakala seorang lagi pelumba Yamaha SRT, Franco Morbidelli keenam terpantas.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 6:26pm
d