arena

YAKEB dapat 'talian hayat' RM3 juta

Oleh Azlan Muhammad Zain

YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) kembali ‘bernyawa’ selepas mendapat suntikan dana RM3 juta daripada kerajaan semalam (Isnin).

Perkembangan berkenaan disahkan Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang pastinya melegakan kira-kira 3,000 ahlinya yang terdiri daripada bekas atlet.

“Pada mulanya kita merintih dan menangis untuk mendapatkan dana dari kerajaan namun akhirnya sudah mendapatnya serta masuk ke akaun kita semalam (Isnin).

“Namun kami di YAKEB meletakkan sasaran untuk mengumpul RM5 juta pada tahun ini. Ia mungkin bukan sepenuhnya dalam bentuk kewangan namun dari aspek peralatan, kursus kemahiran dan sebagainya dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membolehkan ahli menjana pendapatan sendiri,” katanya.

YAKEB sebelum ini dilaporkan berdepan krisis kewangan yang meresahkan ahlinya terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan perubatan.

“Kami gembira kerana perjuangan untuk membantu atlet dapat diteruskan...tidak perlu menjadi pengerusi (YAKEB) untuk membantu, dari luar (orang luar) juga boleh membantu,” katanya.

Noorul yang juga bekas atlet olahraga antara lima calon yang dilaporkan dalam pertimbangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadi Pengerusi YAKEB selepas dikosongkan Azlan Iskandar sebelum ini.

Empat calon lain adalah Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin (ahli perniagaan), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara), Datuk Rashid Hasnon (Timbalan Speaker Dewan Rakyat) dan Datuk Malek Noor (bekas atlet bina badan).

“Memang kita memerlukan pengerusi secepat mungkin kerana tanpanya sukar membuat keputusan.

Walaupun ada Lembaga Pengarah namun pengerusi akan membuat keputusan muktamad dan hala tuju lepas ini.

“Sama ada saya sendiri dilantik sebagai pengerusi atau sebaliknya, terpulang kepada menteri namun perjuangan untuk membantu bekas atlet akan diteruskan,” tambahnya.

Terdahulu beliau bersama kakitangan YAKEB menghulurkan sumbangan khairat kematian berjumlah RM5,000 kepada bekas atlet ragbi negara, Allahyarham Fadhullah Lim Abdullah.

Bekas atlet ragbi berkenaan meninggal dunia kerana sakit jantung pada 2017, pernah mewakili negara ke Sukan Asia 1978 dan Sukan SEA 1977.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 7:48pm
d