arena

'Beckham' FELDA

Oleh Asrol Awang

KAPTEN FELDA United FC, Hadin Azman layak dilabel sebagai pakar sepakan percuma baharu negara berikutan dua daripada tiga golnya daripada empat perlawanan Liga Super setakat ini dihasilkan menerusi percubaan itu.

Lebih menggembirakan, bekas pemain Harimau Muda B itu berkata, dua gol yang dijaringkan daripada sepakan percuma pada perlawanan dengan PKNP FC dan Perak, masing-masing mem
bantu pasukan mencatat keputusan seri 1-1.

Mengulas ‘rahsia’ jaringan menerusi sepakan percuma itu, Hadin berkata, latihan sendiri selepas berakhir sesi latihan bersama pasukan membuahkan hasil positif.

“Kebiasaannya, saya melakukan sepakan percuma dengan bantuan penjaga gol antara 15 hingga 30 minit untuk mempertingkatkan teknik sepakan.

“Walaupun sepakan percuma itu tidak dilakukan setiap kali latihan, saya sentiasa melakukan yang terbaik terutama memastikan keputusan positif diraih buat The Fighters pada setiap perlawanan.

“Sebagai pemain, saya gembira kerana inisiatif sendiri dengan menjalani latihan sepakan percuma berbaloi kerana dua daripada tiga gol itu hasil daripada sepakan percuma,” katanya.

Setakat ini, Hadin kini berkongsi penjaring terbanyak Liga Super bersama penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme dan Gonzalo Cabrera (Johor Darul Ta’zim (JDT)) dengan tiga gol.

Selepas empat perlawanan, The Fighters menduduki tangga kesembilan dengan mengutip tiga mata.

Mengulas kejayaan meraih satu mata di Stadiim Perak Sabtu lalu, Hadin berkata, keputusan seri 1-1 dengan Bos Gaurus itu begitu bermakna selepas tewas 0-4 kepada Kedah pada perlawanan sebelumnya.

Katanya, kejayaan mengutip satu mata dalam dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan turut memberi motivasi kepada semua pemain.

“Oleh itu, saya harap perlawanan dengan PJ City FC di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran Sabtu ini, berakhir dengan kemenangan pertama FELDA United musim ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 8:02am
d