arena

Ze Love perlu pamer kemampuan

Oleh Asrol Awang

AWANG import Pahang, Jose Eduardo dituntut mempamer ketajaman selaku penyerang berbisa selepas gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini. 

Pemain dari Brazil yang turut dikenali sebagai Ze Love dilihat belum menemui sentuhan gol dan membuktikan dia antara penyerang import yang perlu diawasi lawan musim ini. 

Jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, beliau sudah menegur pemain berumur 32 tahun itu untuk membuktikan kemampuan sebenar untuk membantu skuad itu.

"Sebenarnya, dalam sesi latihan komitmen yang ditunjukkan Eduardo sangat bagus tetapi ia jauh berbeza apabila turun beraksi. Dia seperti hilang punca dan hanya beraksi baik di awal perlawanan. 

"Selepas itu, dia tidak dapat membantu menghasilkan gol ketika pasukan tidak mengharapkan jaringan daripada pemain lain termasuk Dickson Nwakaeme.  "Sebagai contoh, pada perlawanan dengan Selangor Ahad lalu, dia hilang fokus walaupun pada awal perlawanan bermain dengan baik dan berusaha untuk membolosi gawang Red Giants," katanya. 

Justeru, Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan mahu Eduardo dapat menemui sentuhan jaringan sebagai motivasi untuk lebih berkeyakinan. 

"Saya percaya dua perlawanan yang akan dihadapi ini Pahang dapat  menyaksikan dia semakin serasi bersama rakan sepasukan dalam usaha menjaringkan gol pertamanya," katanya. 

Daripada lapan gol yang dijaringkan Pahang, Nwakaeme muncul penjaring terbanyak iaitu tiga gol, diikuti Herold Goulon (dua), masing-masing satu gol oleh Norshahrul Idlan Talaha, Saddil Ramdani dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 1:20pm
d