arena

Ifwat mahu benteng Kedah kebal

Oleh Izzali Ismail

PENJAGA gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim dibolosi hanya satu gol dalam tempoh 360 minit aksi Liga Super setakat ini.

Tidak hairan pemain berusia 22 tahun itu mahu mengekalkan rekod itu selain membantu Lang Merah mengungguli carta liga.

Dalam empat perlawanan setakat ini, Ifwat hanya bolos ketika Kedah seri 1-1 dengan Perak apabila Brendan Gan menyumbat gol pada minit ke-18 pada aksi di Ipoh.

“Sasaran saya musim ini adalah mahu meraih lebih banyak ‘clean sheet’ sekali gus bagi membantu pasukan kekal di persada liga.. itulah cabaran yang saya idamkan.

“Saya bersyukur kerana tidak dibolosi dalam dua perlawanan berturut- turut sewaktu bertemu FELDA United dan PJ City (2-0) serta pada perlawanan pertama musim ini ketika bertemu PKNP FC.

“Namun, apa yang penting saya harus bekerja keras kerana kami belum lagi jumpa pasukan yang lebih hebat dan kuat lagipun masih berada pada awal musim.”

Mengenai kekebalan benteng Kedah musim ini, Ifwat turut mengakui keserasian antaranya dan pemain pertahanan menjadi kunci utama memastikan komunikasi sesama mereka berjalan lancar.

“Saya harap rakan sepasukan terus bekerja keras dan sama-sama memberi komitmen tinggi dalam usaha memperkuatkan lagi benteng pertahanan.”

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 7:18pm
d