arena

Tuck akui tak tidur lena

Oleh Malik Muhamad

BIARPUN sudah empat bulan berlalu, perancang tengah Terengganu FC (TFC), Lee Tuck masih dihantui layangan kad merah pada final Piala Malaysia musim lalu.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu juga mengakui dia tidak dapat tidur lena mengenang episod malang itu selepas diarahkan keluar padang oleh pengadil, Suresh Jayaraman pada minit ke- 66 susulan kad kuning kedua.

Bagaimanapun, Tuck yang akan menjadi pemain tempatan tidak mahu insiden sedih itu berulang atau menghantui diri sebaliknya dia bertekad mahu melupakan peristiwa malang itu apabila pasukannya menentang Perak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

“Benar ia sukar dilupakan jika berbicara mengenai insiden malang itu apabila saya dilayangkan kad merah selain perlawanan pada masa itu sudah dijadikan sejarah kerana ia bagaikan ‘sarkas’ dengan pelbagai ‘drama’ dan insiden yang tidak sepatutnya berlaku.

“Semua peminat merasai kenangan final itu, ia satu pengalaman pahit manis dan berharga kepada kami, namun secara jujurnya saya tidak mahu menoleh ke belakang sama ada ia baik atau buruk kerana matlamat kami adalah untuk mencatat kemenangan dengan corak permainan bersih.

“Saya juga menuntut rakan sepasukan segera melupakan insiden malang itu selain tidak beremosi sebaliknya perlu lebih fokus dan bekerjasama antara satu sama lain serta mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan itu,” ujar Tuck.

Pada final Piala Malaysia yang menyaksikan TFC tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan sebenar terikat 3-3, kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang Perak, Gilmar juga dilayangkan kad merah pada minit ke-55.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 8:20pm
d