arena

Hasmawi kesal tindakan Amizal, PFA

Oleh Syazwan Msar

“TOLONGLAH keluar dan bertanggungjawab terhadap kerosakan yang sudah dilakukan sebelum ini.”

Itu rayuan bekas pemain Pulau Pinang, Hasmawi Hassan terhadap bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

Malah Hasmawi yang sebelum ini dilantik sebagai pegawai khas Amizal turut mahu bekas presiden itu memperbetulkan kesilapan yang sudah dilakukan seterusnya bersemuka dengan pemain, jurulatih dan peminat bagi menerangkan keadaan sebenar.

Walaupun Amizal sudah tidak menyandang jawatan Presiden PFA namun beliau perlu sedar tindakannya sebelum ini menyebabkan Singa Utara boleh dikatakan musnah termasuk membabitkan pemain akar umbi.

“Kesannya amat besar terhadap individu yang terbabit malah tindakannya sebelum ini merosakkan karier bola sepak pemain selain menjatuhkan rumah tangga individu berkenaan apabila tidak menerima sebarang gaji.

“Jika diikutkan hingga kini tiada ada satu apa pun tindakan yang dilakukan oleh beliau bagi menjernihkan keadaan selain tidak mahu mengambil tahu keadaan terkini pasukan termasuk pemain di akar umbi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Hasmawi, antara individu paling rapat dengan bekas presiden itu, tidak mendapat gaji atau menerima sebarang pembayaran sejak Oktober lalu.

“Saya sebenarnya jurulatih Kolej Malaysian Integrated Business (MIB) sebelum dipinjamkan untuk menjadi penasihat PFA membabitkan urusan membawa masuk pemain dan juga pembangunan bola sepak.

“Namun perihal pengurusan, saya sememangnya tidak diberitahu mengenai perancangan mereka dan apa jua keputusan mereka di luar pengetahuan saya,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 9:35pm
d