arena

Lalu hangatkan Terbuka Malaysia

Oleh BERNAMA

PERSAINGAN merebut gelaran raja pecut pada kejohanan sulung Grand Prix Terbuka Malaysia bulan depan dijangka sengit dengan penyertaan juara remaja dunia, Lalu Muhammad Zohri.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim berkata, Lalu yang juga pemenang pingat emas kejohanan remaja dunia 2018, adalah antara tiga atlet Indonesia yang mengesahkan penyertaan mereka pada kejohanan dari 30 hingga 31 Mac depan.

Lalu mencipta kejutan besar apabila menang dengan masa 10.18s.

Dua lagi wakil Indonesia adalah pemenang pingat perak acara 100m lari berpagar wanita Sukan Asia 2018, Emilia Nova dan pemenang pingat gangsa acara lompat jauh lelaki pada temasya sukan itu, Sapwaturrahman dengan catatan rekod kebangsaan Indonesia 8.09m.

“Penyertaan Lalu sudah tentu menjadikan saingan semakin sengit bagi acara 100m lelaki dan memberi cabaran hebat kepada pelari pecut negara. Pelari pecut negara (seperti Khairul Hafiz Jantan dan Aqil Yasmin) mesti bersedia sepenuhnya untuk memberi tentangan dan membuktikan kemampuan mereka.

“Saya juga harap semua atlet kebangsaan akan menampilkan prestasi terbaik kerana kejohanan ini menjadi platform dalam persediaan menghadapi Kejohanan Olahraga Asia di Doha, April ini dan Kejohanan Dunia IAAF pada September depan,” kata Karim.

Karim juga mengesahkan atlet negara berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib dijangka mengambil bahagian dalam acara 100m dan 200m.

Menurut Karim, kira-kira 200 atlet sudah mengesahkan penyertaan pada kejohanan itu setakat ini termasuk dari India, Kuwait, Korea Selatan, Jepun, Jordan, Maldives, Kyrgyzstan, Singapura, Filipina dan Thailand.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 10:17pm
d