arena

Prestasi menakjubkan : Guardiola

Oleh AFP

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola memuji aksi ‘menakjubkan’ pemainnya selepas menang 1-0 ke atas West Ham di laman sendiri pagi ini, sekaligus meneruskan saingan dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool.

City mendominasi peringkat awal permainan di Stadium Etihad dan hampir menjaringkan beberapa gol namun hanya mampu berpuas hati dengan kemenangan menerusi penalti disempurnakan Sergio Aguero pada minit ke-59.

Penalti diberikan selepas pemain West Ham, Felipe Aderson melakukan kekasaran terhadap Bernardo Silva di dalam kotak penalti.

Kemenangan itu meletakkan juara bertahan EPL di tempat kedua, hanya berbeza satu mata di belakang Liverpool yang membelasah Watford 5-0 di Anfield.

“Ia adalah keputusan yang sukar, namun persembahan pemain menakjubkan,” kata Guardiola.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu menambah: “Jika kami menjaringkan satu atau dua gol dalam lima minit masa pertama pastinya permainan akan berubah, namun kami beraksi baik.

“Permainan agak seimbang. Kami memulakan perlawanan pada separuh masa kedua dengan agak baik. Kami cuma tidak menjaringkan cukup gol untuk menjadikan detik 15 hingga 20 minit akhir permainan lebih selesa,” kata bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu.

“Kami akan berjuang habis-habisan untuk memberi cabaran kepada Liverpool. Keputusan adalah lebih baik tetapi cara kami bermain menakjubkan.”

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 9:10am
d