arena

Leclerc memukau sesi ujian

Oleh Reuters

PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc mencatat masa sepusingan terpantas pada sesi ujian pramusim Formula Satu di Litar de Catalunya, malam ini.

Pemandu muda Monaco itu melakukan satu minit 16.231 saat pada sebelah pagi dalam cuaca panas sekitar 21 darjah Celsius menggunakan tayar lembut C5.

Catatan itu hampir dengan kepantasan kedudukan petak pendahulu Grand Prix Sepanyol 2018 dengan masa 1:16.173 dibuat Lewis Hamilton bersama Mercedes dan memberikan khabar gembira buat Ferrari selepas Sebastian Vettel kemalangan semalam.

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas menyatakan apa dirasakan minggu lalu bahawa Ferrari masih di depan Mercedes serta Red Bull.

“Keseluruhan pasukan tampak lebih mencabar berbanding tahun lalu atau tahun sebelum itu, tapi itu hanya anggaran,” kata pemandu Finland itu.

“Anda tidak akan tahu apa yang mereka bawa ke Melbourne.”

Perlumbaan pembuka tirai musim akan berlangsung di Melbourne pada 17 Mac depan.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 12:46am
d