arena

Malang berganda The Pocketrocketman

Oleh Azlan Muhammad Zain

NASIB tidak menyebelahi jaguh negara, Azizulhasni Awang apabila terbabit dalam kemalangan sejak pusingan pertama sekali gus menjejaskan prestasi dirinya dalam acara keirin di Kejohanan Trek Dunia, Poland, sebentar tadi.

Jelasnya, kemalangan itu mengakibatkan luka dan kesan impakan yang kebanyakannya pada badan sebelah kiri selain bahagian kepala yang membuatkan dirinya berasa seperti pening dan sakit.

"Namun demi mengejar misi untuk menambah mata sebanyak mungkin untuk kelayakan Olimpik Tokyo 2020, saya ketepikan rasa sakit dan masalah ini dan terus berjuang.

Walau bagaimanapun, kemalangan tersebut sedikit sebanyak menjejaskan kayuhan saya terutamanya dari segi pernafasan kesan daripada impakan di bahagian rusuk kiri," jelasnya menerusi entri terbaru di Facebook miliknya.

Nasib malang The Pocketrocketman berterusan sehingga separuh akhir apabila berlanggar pula dengan jaguh Australia, Matthew Glaetzer ketika saingan hanya berbaki dua pusingan namun tiada yang serius dengan kedua-duanya meneruskan perlumbaan.

Glaetzer dilihat hampir terjatuh apabila melanggar tayar belakang Azizulhasni namun kedua-duanya meneruskan perlumbaan.

Walaupun berada dalam kedudukan terbaik dan memberikan saingan sengit sehingga garisan penamat, Azizulhasni terpaksa akur menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dengan hanya tiga pelumba terpantas mara ke final.

Keputusan di laman web UCI menyaksikan Azizulhasni diberikan amaran kerana menunggang secara berbahaya ketika perlumbaan susulan insiden dengan Glaetzer itu.

Bagaimanapun juara dunia 2017 itu bangkit memenangi perlumbaan kedudukan 7-12 menewaskan lima pencabar yang lain.

Juara dunia bagi acara keirin milik pelumba Belanda, Matthijs Buchli diikuti Nitta Yudai (Jepun) dan Stefan Botticher (Jerman).

Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom terkandas dalam repechage selepas tewas di pusingan pertama.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 9:27am
d