arena

Kedah 'wajib' pulun tiga mata

Oleh Izzali Ismail

KELAB Penyokong Kedah yakin skuad Lang Merah mampu meneruskan rentak kemenangan dengan mengutip mata penuh dalam aksi saingan Liga Super bertemu PKNS FC di Stadium Darul Aman, esok.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Red Eagle Frenz Kedah (REFK) Azmi Abdullah, prestasi baik ditunjukkan dalam empat perlawanan lalu tanpa kekalahan, memberi isyarat Kedah sudah mendapat rentak dicari untuk mengutip tiga mata seterusnya esok.

"Kami yakin dengan persiapan dilakukan selepas berjaya berada pada kedudukan teratas liga, Kedah mampu menggunakan motivasi berkenaan bagi meneruskan momentum terbaik dalam usaha menambah tiga lagi mata dalam pertemuan menentang PKNS FC kali ini."

"Bukan mudah berada di puncak liga. Kedah harus terus waspada kerana jika kehilangan mata, pesaing seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang sentiasa mengekori rapat dan menghimpit kedudukan Kedah yang memungut 10 mata."

"Jadi, tiga mata di Darul Aman kali ini 'wajib' dan tidak harus dipersiakan. Selepas mengharungi empat perlawanan sebelum ini kami berharap Kedah dapat meneruskan aksi konsisten seterusnya."

"Sebenarnya kami agak risau kerana Kedah terpaksa menempuh dua jadual perlawanan awal di tempat lawan bertemu PKNP FC dan Perak sebelum ini, namun kami bersyukur kerana Kedah akhirnya berjaya mengutip mata dan menganggap 'ujian' ini berjaya berkat kerja keras semua pemain dengan peraturan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak.

Azmi juga mengahrapkan Kedah dapat menggunakan kelebihan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setia tempatan yang selama ini menjadi 'tonik' tambahan kekuatan skuad Lang Merah.

"Pastinya kami sebagai 'pemain ke-12' akan memastikan sorakan yang padu akan terus bergema di Stadium Darul Aman nanti," katanya.

"Apa yang penting adalah fokus untuk mengutip tiga mata kerana perlu diingat PKNS juga dahagakan mata dan jurang tiga mata antara kedua-dua pasukan Kedah (10 mata) dan PKNS (7 mata) tidak jauh beza.”

Sebagai kelab penyokong yang setia, Azmi turut berharap Kedah mampu melakar kejayaan besar pada musim ini berbanding pencapaian serta kedudukan yang kurang menyerlah pada musim lalu.

"Prestasi semasa ditunjukkan semua pemain musim ini menampakkan peningkatan ketara dan ini juga menyemarakkan semangat penyokong," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 6:17pm
d