arena

Dua gol Dong Won benam Dortmund

Oleh AFP

PENYERANG Korea Selatan, Ji Dong Won meledak dua gol menentang bekas kelabnya Borussia Dortmund ketika pendahulu liga itu dikejutkan 1-2 di Augsburg awal pagi tadi dan sekali lagi terencat dalam perebutan kejuaraan Bundesliga.

Juara bertahan Bayern Munich, yang menghuni tangga kedua, akan terikat 54 mata dengan Dortmund jika mereka mengatasi pasukan tangga ketiga Borussia Moenchengladbach malam ini.

Keputusan itu satu tamparan buat Dortmund ketika mereka cuba bangkit daripada defisit 0-3 awal pagi Rabu ini apabila menanti kunjungan Tottenham Hotspur pada aksi kedua, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Dortmund kini hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan terakhir bagi semua pertandingan. Mereka juga keciciran sembilan mata dalam lima aksi terakhir liga.

Kedua-dua gol Augsburg hasil kesilapan susulan kekurangan pengalaman pertahanan Dortmund, Dan-Axel Zagadou, 19, dan Achraf Hakimi, 20.

“Secara praktikalnya kami membantu mereka menjaringkan gol dengan dua kesilapan individu,” kata kapten Dortmund, Marco Reus, yang kembali selepas berehat empat minggu kerana kecederaan.

“Kami perlu mengekang perkara ini. Kami tidak boleh kehilangan bola dengan mudah, kami mempunyai banyak peluang untuk memenangi perlawanan.

“Perbezaan antara kami dengan Bayern mereka kini semakin meningkat dan tidak melakukan kesilapan individu.”

Selepas turut menjaringkan gol menentang Bayern dua minggu lalu, Dong Won membantu Augsburg mendahului pada minit ke-24 sebelum menjaringkan gol mengagumkan 22 minit sebelum tamat.

Paco Alcacer menyumbat gol sagu hati Dortmund sembilan minit sebelum tamat namun kemenangan itu membolehkan Augsburg kini lima mata di atas zon penyingkiran di tangga ke-15.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 8:05am
d