arena

Tuah nyawa ketiga

Oleh Mohd Hilmie Hussin & Nazri Abu Bakar

Melaka: “Ramai orang mengatakan saya ni bertuah, membawa tuah tapi tengoklah macam mana tuah saya bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB FC),” kata Jasmir Mehat, yang terpaksa membawa diri ke Liga M3 musim ini selepas berdepan isu tunggakan gaji bersama dua pasukan lamanya, Terengganu City FC (TCFC) dan Perlis.

Tuah Jasmir yang menjulang skuad Melaka United (MU) muncul juara Liga FAM dan Liga Perdana (2015-2017) sekali gus membolehkan pasukan Hang Tuah itu beraksi ke Liga Super, tampak bersinar ketika dia menyertai Terengganu City FC (TCFC) selepas itu apabila skuad terbabit muncul juara liga FAM musim lalu.

Namun, dalam keghairahan dapat beraksi dalam kancah Liga Perdana musim ini, TCFC pula berdepan masalah kewangan hingga culas membayar gajinya yang tertunggak empat bulan.

Tidak tahan dengan situasi itu, Jasmir mencuba nasib di utara tanah air apabila menyertai skuad Singa Utara, Perlis, namun turut berdepan isu sama.

“Sudah jatuh ditimpa tangga itulah ibarat nasib saya, namun mujur dapat bernafas lagi, buat kali ketiga,” kata pemain penyerang itu, yang kini berkelana lagi ke kelab Liga FAM (M3), SAMB FC.

Menurutnya, tidak menerima gaji selama empat bulan di TCFC dan dua bulan di Perlis, membuatkan dia terlupa nombor pin bank berikutan sudah enam bulan tidak bergaji.

Sambil mengakui dirinya bagai orang gila talak, sering berulang alik ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mengharapkan gaji dibayar, namun sentiasa hampa.

Menurut Jasmir, belum pernah dalam hidupnya yang kini berusia 25 tahun, terpaksa pergi ke pasar membeli barangan basah dan memasak di rumah sebagai pemain profesional, namun dia bersyukur pengalaman di TCFC itu mengajarnya erti kejatuhan, ditambah dengan pasukan Perlis yang disertainya selepas itu, turut menerima nasib sama.

Lebih malang Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan penyertaan skuad Singa Utara selepas penelitian terperinci dokumen kewangan yang diserahkan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pada tarikh akhir 18 Februari lalu.

“Macam-macam isu yang terpaksa dihadapi berikutan enam bulan tanpa gaji. Macam mana nak bayar kereta, malah makan ala kadar, mujur di Terengganu makanan masih murah.

“Hingga saya terfikir, mujur aku belum berkahwin, selepas melihat wajah sugul dan masam rakan yang sudah berumah tangga setiap kali menjalani latihan,” kata Jasmir.

Justeru fokusnya kini yang ibarat diberi peluang nafas ketiga, daripada tidak dapat beraksi, dia memilih kembali beraksi di Liga M3, SAMB FC bersama tiga lagi bekas pemain Perlis, Mohamad Fakhrullah Rosli, Mohd Yusri Abas dan Muhammad Sabri Adam yang masing-masing mengikat kontrak semusim.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 7:01am
d