arena

Bukan malam kami : Aidil

Oleh Izzali Ismail

TERKILAN tidak memungut tiga mata penuh selepas Kedah terikat tanpa jaringan kepada PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak dilihat tenang menerima keputusan ini dan menganggap perlawanan kali ini bukan sepenuhnya milik mereka.

"Cuma malam ini bukalah malam kita dan ada beberapa peluang yang hampir menghasilkan gol tetapi kita gagal meletakkan bola dalam jaring.

Walaupun terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri, saya tetap gembira kerana semua pemain bekerja keras dan anda boleh lihat dalam carta kita cuma bolos dengan hanya satu gol setakat ini.

"Saya rasa pujian juga harus diberikan kepada pemain yang nampak bekerja keras dan bertahan dengan bersungguh-sungguh terutama babak kedua dengan melihatkan tahap kecergasan yang baik, mereka mampu teruskan langkah memburu gol hingga ke hujung perlawanan.” katanya.

Aidil mengakui PKNS kendalian jurulatih berpengalaman Datuk K Rajagobal memiliki perancangan dan persediaan yang bagus sebelum hadir ke Alor Setar memandangkan mereka juga mahu menyaingi Kedah yang sebelum ini berada pada kedudukan teratas liga.

"Seperti yang saya jangkakan sebelum permainan, kita bakal menempuhi satu perlawanan yang sukar kerana PKNS dilihat meletakkan ramai pemain di bahagian tengah dan mereka berjaya mematahkan serangan balas yang Kedah lakukan,” katanya.

Ditanya berkaitan pemain pertahanan Renan Alves yang akan digantung dua perlawanan akibat layangan kad merah selepas terbabit dalam kekecohan di penghujung perlawanan, Aidil bagaimanapun enggan memberi komen peribadi secara lanjut.

"Itulah bolasepak.. anda lihat tadi (semalam) ? Saya tak boleh nak komen secara peribadi....saya hanya akan memberi komen berkaitan perlawanan, kita harus melihat kembali beberapa perkara yang perlu kita lakukan selepas perlawanan ini.

"Renan pemain utama kita, namun perkara (kad merah) dah berlaku dan saya harus membuat perancangan yang seterusnya tanpa beliau (Renan) dengan mendapatkan pemain gantian yang ada dalam dua perlawanan selepas ini.

"Berdepan Pahang seterusnya, kita perlu lebih banyak motivasi kerana mahu kembalikan semula tahap keyakinan pemain dan dalam latihan empat hari sebelum perlawanan itu nanti, kita akan duduk bersama-sama sebagai satu pasukan dan melihat apa yang mampu kita tingkatkan untuk perlawanan seterusnya." katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 12:17pm
d