arena

Atlet terjun pulang tangan kosong

Oleh Azlan Muhammad Zain

SKUAD terjun negara tenggelam pada Siri Terjun Dunia di Sagamihara, Jepun selepas pulang tanpa sebarang kilauan pingat pada kejohanan yang berakhir sebentar tadi.

Harapan terakhir menerusi gandingan Muhammad Syafiq Puteh dan Nur Dhabitah Sabri menerusi 3 meter papan anjal seirama campuran tidak kesampaian apabila mereka menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.

Terjunan terakhir yang menghampakan daripada penerjun negara menyumbang kepada kedudukan ketujuh walaupun sejak awal bermula dengan baik apabila berada di kedudukan ketiga dan keempat.

Secara keseluruhan mereka mengumpul 304.80 mata dengan emas dimenangi pasangan China, Chang Yani-Yang Hao dengan 330.63 mata diikuti Kanada dan Great Britain.

Peluang terbaik Malaysia meraih pingat adalah menerusi gandingan Dhabitah bersama Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama pada Jumaat lalu.

Mereka mengumpul 302.64, ketinggalan kepada gandingan Kanada yang meraih 311.70 menerusi Caeli McKay-Meaghan Benfeito.China membuktikan dominasi apabila memenangi semua 10 acara yang dipertandingkan.

Disiarkan pada: March 3, 2019 @ 8:44pm
d