arena

Sedia jumpa Faedzal

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

TIGA bekas atlet menembak Program Podium sedia bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli berhubung kes saman terhadap badan sukan itu.

Muslifah Zulkifli berkata, ia bertujuan memberi penjelasan kepada Ahmad Faedzal yang baru dilantik ke jawatan itu dan tidak mengetahui secara menyeluruh mengenai kes saman itu.

Hakikatnya dia bersama rakannya, Nur Suryani Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim belum meletakkan noktah dan masih terbuka untuk penyelesaian kes itu secara baik.

“Nampaknya beliau (Ahmad Faedzal) memang tidak tahu menahu (kes saman) kerana baru jadi CEO. Jadi kami bersama peguam sedia bertemunya bagi membincangkan lebih lanjut kes saman itu,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Ahmad Faedzal tidak mengetahui lanjut berhubung kes saman difaikan tiga penembak itu termasuk ruang untuk penyelesaian di luar mahkamah.

Mengulas lanjut, Muslifah berkata, ketika pengurusan kes saman itu minggu lalu, peguam mereka, Mohd Azlan Mashod memaklumkan tidak menerima sebarang arahan baru daripada ISN.

“Peguam kami maklumkan setakat ini, melalui peguam cara ISN, mereka akan teruskan dengan perbicaraan sebab tiada arahan daripada Ketua Pegawai Eksekutif ISN atau pihak berkaitan untuk penyelesaian di luar mahkamah.

“Saya difahamkan mahkamah akan tetapkan tarikh lain untuk perbicaraan dalam masa dua minggu lagi.

“Namun, kami masih tunggu dan tidak kisah untuk teruskan dengan perbicaraan penuh atau nak selesai di luar mahkamah. Jika ISN nak teruskan dengan perbicaraan, kami akan teruskan sebab peguam kata tiada masalah,” katanya.

Muslifah, Nur Ayuni dan Nur Suryani memfailkan saman terhadap ISN di Mahkamah Kuala Lumpur pada 30 Oktober lalu bertujuan membersih imej mereka yang tercalar selepas digugurkan daripada Program Podium dengan cara salah dan menyalahi perjanjian.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 8:02am
d