arena

Shaakhmedov masih 'selamat'

Oleh Malik Muhamad

KETIKA penyerang sensasi Terengganu FC (TFC) Kipre Tchetche menjadi sasaran kemarahan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim kerana prestasinya kurang menyerlah, kedudukan pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov masih lagi dianggap ‘selamat’.

Bekas pemain tengah terbaik kelab gergasi Liga Uzbekistan, Lokomotiv Tashkent musim lalu itu yang juga dikatakan berupaya meledak gol sebagaimana ketika bersama kelab lamanya itu setakat ini masih belum menghasilkan sebarang jaringan bersama skuad Penyu.

Malah pemain yang juga berpengalaman beraksi dalam saingan Piala AFC selama tiga musim selepas membantu bekas kelabnya menjuarai Liga Uzbekistan tiga tahun berturut-turut masih lagi bergelut untuk meletakkan dirinya sebagai pemain import berkualiti.

Pemain kedua termahal skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu juga dilihat belum banyak melakukan percubaan tepat ke arah gol kerana sikapnya ‘tidak kedekut’ untuk melakukan hantaran bola kepada rakan sepasukan.

Bagaimanapun, Irfan belum mahu menghukum atau memberi surat amaran kepada bekas pemain kebangsaan Uzbekistan itu, sebaliknya beliau masih lagi memberi peluang kepada pemain itu untuk membuktikan kemampuan sebenarnya.

“Jika dilihat pada aksi terbaharu bertemu Perak, Sanjar adalah pemain yang baik, hantarannya juga berkualiti dan cantik, kadang-kadang pemain itu mempunyai peluang untuk disudahkan dengan jaringan.

“Namun begitu saya lihat ada beberapa peluang dimilikinya yang mampu melakukan percubaan tepat ke arah gol tapi dia tetap mahu melakukan hantaran, saya nak dia sendiri melakukan percubaan... adakalanya kita perlu bersikap kedekut juga ketika bermain.

“Tapi mungkin dia (Sanjar) dah terbiasa begitu menyebabkan peluang yang terhidang berlalu begitu saja dan ia sudah pasti merugikan pasukan.

“Dia tidak boleh bandingkan ketika beraksi dengan kelab lamanya, (Lokomotiv Tashkent) sebelum ini kerana pasukan itu mempunyai pemain yang berkualiti, tapi dengan pasukan TFC ini adakalanya bola mudah hilang jika melakukan hantaran ke kiri atau ke kanan,” kata Irfan.

Sebelum ini, pemain yang turut diintai sebuah kelab dari Qatar itu dilihat calon terbaik mengemudi jentera tengah bersama pemain kacukan Malaysia-England, Lee Tuck dan pemain Kemboja, Thierry Chantha Bin.

Ketika ditanya adakah faktor komunikasi disebebkan pemain itu tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris menyebabkan dia belum mampu menunjukkan belang sebenarnya, Irfan menafikannya.

“Faktor komunikasi bukan penyebabnya, namun saya berkeyakinan dia mampu memperagakan aksi terbaiknya selepas ini sebagaimana ketika menyarung jersi bekas kelabnya itu,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 1:20pm
d