arena

Reus bimbang benteng lembik

Oleh AFP

BORUSSIA Dortmund mesti membaiki kesilapan benteng pertahanan jika mahu mengatasi defisit 0-3 aksi pertama apabila mereka melayan kunjungan Tottenham pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

“Ini satu tempoh yang mana kami perlu perbetulkan segera atau ia menjadi lebih buruk,” kata kapten Dortmund, Marco Reus selepas kalah mengejut 1-2 di Augsburg minggu lalu menyaksikan mereka hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan.

Jumaat lalu, empat pertahanan muda Dortmund, Abdou Diallo, Dan-Axel Zagadou, Manuel Akanji dan Achraf Hakimi, semuanya berusia bawah 23 tahun, gagal mengekang Augsburg yang berjuang untuk kekal dalam liga utama.

Hakimi, kesilapannya menyumbang kepada kekalahan besar di Wembley apabila dia gagal mengekang Jan Vertonghen bagi gol kedua Spurs, sekali lagi menjadi dalang.

Hantaran ke belakang pertahanan kanan itu digunakan sepenuhnya Ji Dong Won bagi gol kedua Augsburg selepas pertahanan tengah Zagadou yang terjatuh membolehkan Dong Won menyumbat gol pertama.

“Secara praktiknya kami menjaringkan gol buat mereka susulan dua kesilapan individu,” ujar Reus, yang akan mengemudi serangan Dortmund menentang Spurs selepas empat minggu berehat kerana kekejangan paha.

Rekod Dortmund dengan hanya sekali menang dalam tujuh perlawanan terakhir bagi semua pertandingan membayangkan keyakinan pemain muda mereka merudum.

“Kami berterusan melepaskan gol aneh, yang biasanya mudah untuk dipertahankan,” kata penjaga gol Roman Burki.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 9:50pm
d