arena

Tak goyah tanpa Alves

Oleh Izzali Ismail

PEMAIN pertahanan kiri Kedah Alif Yusof yakin benteng Lang Merah tetap kukuh sekalipun sedar skuadnya bakal beraksi menentang Pahang Jumaat ini tanpa pertahanan import Renan Alves yang menjalani hukuman penggantungan kad merah.

Bekas pemain Felda United berusia 28 tahun ini bagaimanapun tetap optimis dengan percaturan baharu yang akan ditentukan oleh ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak walaupun masih terasa ‘kehilangan’ rakan seperjuangannya itu yang menunjukkan prestasi terbaiknya sepanjang lima perlawanan yang lalu.

“Bagi saya kekuatan benteng Kedah tidak ‘goyang’, malah tetap sama kerana saya yakin kepada siapa sahaja yang akan menggantikan posisi berkenaan mampu memberi kerjasama dan komunikasi yang diharapkan kerana kami dilatih bekerja sebagai satu pasukan.

“Perkara utama adalah kita perlu lihat kehadapan, tak perlu kita terlalu memikirkan ketiadaan Alves dan jika kita bersatu hati dalam aksi serta mengikut arahan yang akan ditetapkan oleh ketua jurulatih, pasti perancangan pasukan akan menghasilkan kejayaan.

“Memang apabila disahkan beliau tak dapat beraksi kita agak risau, tetapi melihat kepada fokus dan kesungguhan pasukan buat masa ini, saya yakin siapa sahaja pengganti yang akan dipilih oleh jurulatih nanti memiliki kelebihan tersendiri.

“Alif yang juga mampu beraksi di bahagian sayap turut bersyukur benteng Kedah yang setakat ini hanya bolos dengan satu gol sepanjang lima perlawanan lalu dan berharap kedudukan ini dapat dikekalkan untuk perlawan seterusnya bertemu Pahang.

“Saya turut berpuas hati dengan pencapaian pasukan yang dapat mempertahankan jumlah bolos (satu gol) itu dan saya yakin dengan angka berkenaan, ia akan lebih membangkitkan semangat dan menyuntik motivasi kami sepasukan sewaktu bertemu Pahang nanti.

“Reputasi serta kedudukan Pahang sekarang berada pada tahap yang terbaik dan itu merupakan cabaran untuk kami tingkatkan lagi usaha kerana fokus kami ke Kuantan adalah untuk mencari tiga mata.

“Walau apa pun kelebihan atau kelemahan yang kita dengar mengenai pihak lawan, kita tidak harus ambil mudah dan sebaliknya kita mesti tetap waspada dan beri fokus sepenuhnya untuk mencari kemenangan.

“Ditanya mengenai lapan pemain Kedah yang berjaya menghasilkan gol setakat lima perlawanan, Alif yang juga pernah bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) ini mengakui ia sebagai tanda yang positif untuk kekuatan pasukan lebih lebih lagi impian pasukan untuk mencapai kejayaan yang terbaik pada musim ini.

“Walaupun saya beraksi di barisan pertahanan, saya juga berharap dapat memberi sumbangan gol untuk pasukan sekiranya memiliki peluang nanti.” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 1:58pm
d