arena

Faiz, Matthew taruhan Cheng Hoe

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

SKUAD Harimau Malaya menjanjikan aksi bertenaga apabila membariskan 12 pemain baharu untuk Piala AIRMARINE 2019 pada 20 hingga 23 Mac ini.

Antara pemain terpilih adalah Faiz Nasir yang mendapat jolokan ‘Messi Terengganu’ dan kini bersama skuad Liga Super Selangor serta pertahanan kental Pahang, Matthew Davies.

Agak mengejutkan bila ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe menggugurkan enam pemain utama ketika membantu Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018, Disember lalu dan mengekalkan 13 pemain.

Mereka adalah penjaga gol Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin, Amirul Azhan Aznan, Syafiq Ahmad dan Shahrel Fikri Md Fauzi.

Sementara itu, empat tunggak skuad sama iaitu Syamer Kutty Abba, Akhyar Abdul Rashid, Safawi Rasid dan Syahmi Safari pula disenaraikan Datuk Ong Kim Swee bagi memperkasakan skuad B-22 kebangsaan untuk Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020.

Berdasarkan senarai di laman web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selain Faiz dan Matthew, 10 lagi pemain baru adalah Abdul Latiff Suhaimi dan Abdul Halim Saari dari Selangor, Nor Azam Abdul Azih (Pahang), penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim dan Rizal Ghazali (Kedah).

Turut tersenarai Hadin Azman (Felda United), Firdaus Saiyadi (Perak), Hafiz Ramdan (PKNP FC), Nicholas Swirad (PKNS FC) dan S Kumaahran (JDT II) bagi melengkapkan 25 pemain.

Semua pemain akan melapor diri pada 12 Mac ini untuk menjalani latihan pusat manakala empat pemain JDT yang terbabit perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada tarikh yang sama akan melapor diri sehari kemudian.

Skuad Harimau Malaya bakal menghadapi dua perlawanan pada Piala AIRMARINE 2019 iaitu bertemu Singapura pada perlawanan pertama pada 20 Mac 2019 (8.45 malam) dan berdepan Oman atau Afghanistan pada perlawanan kedua pada Sabtu, 23 Mac 2019 (4.30 petang atau 8.45 malam).

Selepas itu skuad sama akan menentang skuad kebangsaan Nepal dalam perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ pada 26 Mac, jam 5.30 petang juga di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 2:22pm
d