arena

Bunyamin mahu pamer aksi terbaik

Oleh Asrol Awang

MOHD Bunyamin Umar yang kali pertama beraksi dalam saingan Liga Super musim ini ketika Pahang menewaskan PKNP FC, 3-0, Sabtu lalu, tidak berdepan masalah jika terus menjadi sandaran skuad itu.

Pemain pertahanan Tok Gajah itu berkata, kepercayaan yang diberi ketua jurulatih, Dollah Salleh sudah disempurnakan dengan sebaik mungkin ketika membantu pasukan mencatat kemenangan ke atas PKNP.

"Saya berterima kasih kepada barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan yang banyak membantu mengekang asakan lawan sepanjang 90 minit perlawanan.

"Beraksi pada kali pertama dalam saingan Liga Super musim ini juga meningkatkan motivasi untuk mempamerkan prestasi lebih baik jika mendapat kepercayaan beraksi pada perlawanan seterusnya.

"Sebagai pemain, bukan saja saya, malah semua pemain perlu sentiasa bersedia dan apabila diberikan tanggungjawab, persembahan terbaik perlu diberikan kepada pasukan," kata pemain kelahiran Kedah itu.

Sabtu lalu, Bunyamin disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Tok Gajah selepas bekas pemain pertahanan kebangsaan, Muslim Ahmad mengalami kecederaan pangkal paha.

Keputusan Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan menyenaraikan Bunyamin tepat apabila kubu itu berjaya dipertahankan daripada dibolosi bersama kapten pasukan, Matthew Davies, Afif Amiruddin dan Mohd Faisal Rosli. 

Ditanya peluang skuad Tok Gajah menewaskan Kedah di Stadium Darul Makmur Jumaat ini, Bunyamin berkata, keputusan positif dalam lima perlawanan sebelum ini diharap dikekalkan.

"Biarpun skuad Lang Merah berada pada prestasi terbaik, kami perlu memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri dengan mengutip tiga mata.  "Kemenangan itu akan memastikan Pahang akan terus mencabar kedudukan di persada liga," katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 3:20pm
d