arena

'Hati saya Parma, Juventus bukan United, City' [VIDEO]

Oleh DM/EJ

GIANLUIGI Buffon pernah dilamar oleh dua kelab Manchester sebelum ini tetapi penjaga gol hebat antarabangsa Itali itu menolak kedua-duanya.

Buffon memulakan kariernya di Parma tetapi mencapai banyak kejayaan selepas menyertai gergasi Turin, Juventus.

Dia kemudian menyertai kelab kaya-raya Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas lalu.

Juara Ligue 1 itu akan berdepan Manchester United pada perlawanan kedua timbal balik peringkat kalah mati 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara (UCL) pada awal pagi Khamis.

Dia mendedahkan mampu berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) menyertai United pada permulaan kariernya atau Manchester City ketika di peringkat kemuncaknya.

Bercakap kepada BT Sport dan temuramah Rio (Ferdinand) Meets PSG, Buffon berkata: “Ketika zaman remaja bermain untuk Parma, (Sir Alex) Ferguson mengikuti perkembangan saya selama dua atau tiga tahun dan sentiasa menghantar ‘scouts’ untuk melihat saya bermain.

Ketika itu, Parma ibarat dunia saya dan saya tidak merasakan mahu meninggalkan kelab itu.

“Saya kemudian menerima tawaran tinggi daripada Manchester City ketika mereka membentuk pasukan dan menjadi skuad penting di benua Eropah. Mereka mahu saya menjadi pemain pertama ditandatangani tetapi saya kekal di Juventus.”

Lebih menarik, pada usia 40, Buffon mencari gelaran pertama UCL bersama PSG.

Mereka berada dalam laluan ke suku akhir selepas mengatasi United 2-0 pada perlawanan pertama di Old Trafford.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 4:47pm
d