arena

Pemain TFC takut kuasai bola?

Oleh Malik Muhamad

BIAR pun 'pecah kepala' memikirkan strategi mujarab untuk menundukkan lawan, pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim belum mampu tersenyum selepas pasukannya masih gagal melakar kemenangan pertama di laman sendiri setakat ini.

Irfan yang sudah 'memperturunkan' segala ilmu kepada anak buahnya tanpa berselindung turut melahirkan rasa terkilan kerana pemainnya gagal menggunakan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk mengutip tiga mata.

Malah jurulatih berpengalaman berusia 67 tahun itu turut mengakui kurang senang dengan situasi itu selepas tiga perlawanan di tempat sendiri berakhir keputusan seri biar pun mampu mencatat kemenangan.

“Selepas lima perlawanan, bagi saya peningkatan hanyalah daripada segi semangat manakala peningkatan berkaitan keyakinan bersama dengan bola masih lagi kurang, pemain dilihat masih lagi takut untuk menguasai bola.

“Apa yang kami harapkan selepas ini terutama bertemu Melaka United (MU) di laman sendiri pada Sabtu ini, pemain harus mengambil peluang sebaik mungkin untuk mengutip tiga mata pertama di depan penyokong sendiri,” ujar Irfan.

Selepas lima perlawanan, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu kini mengutip enam mata dan berada di tangga keenam liga selepas mencatat satu kemenangan di tempat lawan menumpaskan Kuala Lumpur 1-0 hasil jaringan pemain pertahanan, Igor Zonjic.

Manakala tiga perlawanan di tempat sendiri berakhir keputusan seri iaitu 1-1 menentang PKNS FC, 2-2 dengan Johor Darul Ta`zim (JDT) dan terbaharu seri 1-1 dengan Perak Jumaat lalu selain tewas 0-3 di tangan Pahang di laman mereka.

Ketika ditanya adakah berlaku rombakan dalam kesebelasan utama bertemu MU, Irfan belum mahu membuat keputusan terburu-buru sebaliknya akan menilai terlebih dahulu anak buahnya ketika sesi latihan.

“Kami akan putuskan dalam sesi latihan mengenai rombakan pemain, namun begitu mungkin kembalinya Khairul Izuan Rosli daripada kecederaan hamstring dan Malik Mat Ariff akan memantapkan lagi pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 6:15pm
d