arena

The Speedy Jantan puji pencapaian Azeem

Oleh Azlan Muhammad Zain

JAGUH 100 meter negara, Khairul Hafiz Jantan bersedia dengan cabaran yang mungkin hadir menerusi bintang muda, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dalam tempoh terdekat.

Atlet berusia 15 tahun dari Perak itu meraih emas 100m pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara, Sabtu lalu dengan melakar rekod temasya menerusi catatan 10.69 saat.

"Saya tidak terlalu mengenalinya kerana kami tidak berlatih bersama. Jadi tidak banyak yang boleh saya perkatakan mengenainya.

"Namun saya gembira dengan pencapaiannya kerana ada pelumba pelapis sepertinya. Pesanan saya kepadanya agar sentiasa melakukan yang terbaik dan fokus," menurut Khairul Hafiz.

Atlet berusia 21 tahun yang dikenali sebagai The Speedy Jantan itu mengakui saingan akan lebih kompetitif dengan kehadiran Azeem namun mereka semua perlu fokus untuk memberikan yang terbaik kepada negara.

Pemegang rekod kebangsaan 100m dengan masa 10.18s itu kini menjalani latihan di kendalian jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim dengan misi utama mempertahankan emas di Sukan SEA di Filipina penghujung tahun ini.

Kejayaan Azeem turut mendapat perhatian Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang melihat sebagai atlet yang berpotensi susulan kejayaan mengejutkan itu.

Menurut KOM, catatan dilakukannya menjadikan dia pelari keempat terpantas Malaysia tahun ini.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 10:36pm
d