arena

India uji skuad hoki wanita kita

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki wanita negara bakal melalui lima perlawanan persahabatan dengan pasukan ranking kesembilan dunia, India pada April depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yang mengesahkan perkara itu berkata, lima perlawanan itu akan dilangsungkan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Jelasnya, kesudian India untuk mengadakan perlawanan persahabatan dilihat sebagai satu penghormatan untuk skuad negara selepas anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mempamerkan aksi meyakinkan dalam beberapa kejohanan utama sebelum ini.

"Mereka hadir ke sini dengan menggunakan perbelanjaan sendiri selama kira-kira 10 hari hanya untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad negara," katanya.

Jelas Subahan, lima perlawanan persahabatan itu juga sebagai sebahagian persiapan skuad negara untuk menghadapi Pusingan Akhir Siri FIH di Dublin, Jun depan.

"Selepas perlawanan persahabatan dengan India, skuad negara dijangka akan mengadakan beberapa aksi persahabatan pada siri jelajah Eropah.

"Selepas itu mereka akan ke Dublin. Harap dengan persiapan yang cukup rapi ini skuad negara dapat membuktikan sesuatu di sana nanti," katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 11:15pm
d