arena

Tagih bisa 'Messi Ganu'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

“ORANG kata ‘Messi Ganu’ ni hebat, kita nak tengoklah.”

Itu harapan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe terhadap pemain tengah Selangor, Faiz Nasir yang kali pertama diserap dalam skuad Harimau Malaya.

Sebelum ini, nama pemain bertubuh kecil dengan ketinggian 1.55 meter harum dan disebut-sebut bakal menyertai pasukan kebangsaan apatah lagi berjaya membantu Terengganu FC muncul naib juara Piala Malaysia tahun lalu.

Kehebatannya hingga menjadi rebutan Melaka United dan Selangor musim ini, sekali gus membuka mata Cheng Hoe untuk memperkuat pasukan kebangsaan bagi menghadapi kejohanan empat negara, Piala Airmarine 2019 dijadual pada 20 hingga 23 Mac ini.

Menurut Cheng Hoe, beliau teruja melihat aksi mantap Faiz mengemudi bahagian tengah Red Giants dalam Liga Super ketika ini dan mahu memberi peluang kepadanya bersama skuad kebangsaan.

“Yang penting dia jangan rasa tertekan dilabel ‘Messi Ganu’ dan nak tampil seperti bintang Barcelona, Lionel Messi.

“Saya yakin jika Faiz bermain, dia boleh menunjukkan prestasi terbaik dalam pasukan kebangsaan nanti,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Cheng Hoe berkata, biarpun menampilkan 12 muka baharu, beliau yakin membentuk skuad mantap khususnya menentang musuh tradisi Singapura dalam perlawanan pertama kejohanan itu.

“Sebagai jurulatih sudah tentu kita nak bagi peluang kepada pemain baharu. Harapan saya pemain tidak tertekan dan boleh bermain sebagai satu pasukan dan gembira mewakili negara.

“Setakat ini, 25 pemain ini yang terbaik dan akan kekal, jika perlu tambah kita akan tambah jika ada pemain cedera,” katanya.

Selain Faiz, Cheng Hoe turut menyenaraikan 11 lagi muka baharu iaitu dua pemain Selangor, Abdul Latiff Suhaimi dan Abdul Halim Saari, dua pemain Pahang, Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih, dua pemain Kedah, penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim dan Rizal Ghazali.

Turut tersenarai adalah Hadin Azman (Felda United), Firdaus Saiyadi (Perak), Hafiz Ramdan (PKNP FC), Nicholas Swirad (PKNS FC) dan S Kumaahran (JDT II).

Mengenai pengguguran penjaga gol Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin, Amirul Azhan Aznan, Syafiq Ahmad dan Shahrel Fikri Md Fauzi yang membantu Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018, Disember lalu, Cheng Hoe menegaskan beliau sudah menilai mereka dan ingin memberi peluang kepada pemain lain.

“(Selepas ini) mungkin pada masa akan datang kita ada banyak ramai pemain untuk pasukan kebangsaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Cheng Hoe berharap anak buahnya dapat merangkul Piala Airmarine, sekali gus membantu melonjakkan ranking Malaysia di atas kelompok 34 terbaik di Asia untuk mengelak daripada bermain playoff kelayakan Piala Dunia 2022.

“Sebagai jurulatih kita nak menang walaupun kecil atau persahabatan dan pada masa sama pemain dapat pendedahan (perlawanan antarabangsa),” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 7:00am
d