arena

FAM setuju cadang gol Syahmi

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mencapai persetujuan untuk mencadangkan gol pemain muda kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF pada 5 Disember lalu dicalonkan ke Anugerah Puskas FIFA 2019.

Keputusan untuk menghantar cadangan pencalonan itu dibuat selepas mesyuarat peringkat Sekretariat Agung FAM yang turut disertai Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mencapai persetujuan untuk perkara mencalonkan gol itu.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, badan induk itu akan menghantar surat rasmi kepada FIFA bagi mencadangkan gol dijaringkan Syahmi menerusi satu gerakan berpasukan pada minit ke-28 ketika perlawanan bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok itu dapat tersenarai sebagai salah satu calon anugerah berkenaan.

"FAM turut akan melampirkan salinan video gol itu untuk dinilai oleh FIFA. Biarpun mengetahui bahawa senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas FIFA 2019 itu nanti akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya, FAM berpendapat surat cadangan pencalonan tetap perlu dihantar kepada FIFA sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA.

"Berdasarkan keunikan gol yang terhasil menerusi tujuh hantaran membabitkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum disudahkan dengan sepakan kaki kanan menarik oleh Syahmi, FAM berharap ia akan berjaya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 calon untuk Anugerah Puskas FIFA 2019," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menerusi pendedahan eksklusif Arena Metro Isnin lalu, FAM dilaporkan cukup serius untuk mencalonkan gol sepakan padu Syahmi ke Anugerah Puskas FIFA di Zurich, Switzerland penghujung tahun ini.

Gol umpama peluru berpandu itu sememangnya cukup cantik ditambah dengan beberapa siri hantaran pendek antara pemain negara dengan hanya membabitkan tujuh sentuhan nyata sekali cukup berkualiti dan mampu mencabar ratusan gol lain di seluruh dunia sepanjang tempoh 2018/2019 ini.

Sebagai rekod, FAM sebelum ini pada 22 Februari 2016 turut menghantar surat cadangan pencalonan kepada FIFA untuk gol dihasilkan bekas pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dan akhirnya membawa kejayaan kepada jaringan menerusi sepakan percuma unik itu muncul pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 5:00pm
d