arena

Pengalaman sandaran Super KIP

Oleh Saiful Affendy Sapran

PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi akan menggunakan segala pengalamannya pada musim baru Kejohanan Motosikal Dunia yang bakal membuka tirai hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

Pelumba yang mendapat gelaran Super KIP itu bakal beraksi pada musim keempatnya di perlumbaan berprestij itu dengan tiga daripadanya di saingan Moto2.

"Akhirnya musim baru akan bermula. Inilah saat saya nantikan sejak menjalani ujian pertama bersama PETRONAS Sprinta Racing pada November tahun lalu.

"Kami melalui ujian pramusim yang baik dan sekarang fokus utama adalah di atas litar," katanya.

Khairul bagaimanapun mengakui masih banyak perlu dilakukan olehnya serta pasukan dalam usaha untuk lebih kompetitif pada perlumbaan sebenar.

"Kami masih mempunyai potensi untuk mendapatkan keputusan terbaik. Rakan sepasukan juga sangat bekerja keras," katanya.

Khairul pernah mencipta sejarah muncul pelumba pertama negara menaiki podium pertama di Grand Prix (GP) Argentina ketika beraksi dalam kategori Moto3 pada 2016.

Dia mengulangi pencapaian itu pada tahun sama di GP Jerman sebelum mengubah angin ke kategori Moto2 pada 2017.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 8:10pm
d