arena

Red Army Malaysia anjur festival 26, 27 April

Oleh Mohd Khairie Khalid

KUALA LUMPUR: Kelab Peminat Manchester United Malaysia atau dikenali Red Army Malaysia akan menganjurkan festival yang bakal menghimpunkan ribuan penyokong pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Malaysia, di sini, pada 26 dan 27 April ini.

Presidennya, Datuk Rosthman Ibrahim berkata 'United Red Army Fan Festival' itu yang julung kalinya diadakan di negara ini antara lain turut bertujuan mengumpulkan penyokong kelab gergasi EPL itu di rantau Asia Tenggara.

Katanya, program itu merangkumi tiga acara iaitu konvensyen dan malam malam gala yang bakal diadakan di di Palace of the Golden Horses manakala karnival di sekitar Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil.

"Pada program karnival itu nanti, kita akan menyediakan pelbagai aktiviti untuk semua lapisan masyarakat. Antaranya adalah pertandingan bola sepak 7 sebelah, e-sukan FIFA 2019 (PS4), pertandingan sepakan penalti, aktiviti kanak-kanak selain jualan barangan United.

"Pada sebelah malamnya pula, kita akan mengadakan makan malam gala yang bertujuan untuk mencari dana. Kita jangkakan kira-kira 700 hingga 1,000 orang bakal menghadiri majlis ini.

"Mereka yang menghadiri jamuan ini berpeluang memenangi salah satu daripada 10 tiket cabutan bertuah ke Old Trafford yang ditanggung sepenuhnya," katanya pada pelancaran United Red Army Fan Festival 2019, di sebuah hotel di Seri Kembangan dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu turut berlangsung penyampaian sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Nur Auliya Rahmat Faizan dari Perlis yang menderita penyakit yang jarang berlaku di saluran hati dan hempedu iaitu biliary atresia.

Rosthman berkata, majlis makan malam gala itu terbuka dan mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket menerusi aplikasi United Red Army yang dimuat turun menerusi Google Play atau App Store.

Katanya, jamuan itu bertujuan mencari dana bagi membantu komuniti yang kurang bernasib baik.

“Kami bekerjasama dengan United for UNICEF di mana dana itu akan digunakan untuk pembangunan kanak-kanak terutama dalam bidang sukan di seluruh dunia termasuk di Asia Tenggara dan Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 11:53pm
d