arena

Sangat menyedihkan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

MENYEDIHKAN apabila skuad sepak takraw kebangsaan turut terpalit isu apabila seorang pemain utamanya enggan dilepaskan kelab atau majikan untuk menjalani latihan berpusat.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, pemain terbabit Mohd Hafizul Hayazi Adnan dari skuad A yang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Menurutnya, perkara itu amat dikesalkan tatkala persiapan rapi sedang dilakukan bagi membentuk pasukan terbaik khasnya misi mempertahankan pingat emas acara regu di Sukan SEA Manila 2019 November depan.

“Daripada 24 pemain disenaraikan, Mohd Hafizul seorang belum dapat pelepasan majikannya. Malah, saya sendiri menghubungi pengarah JHEAINS, namun gagal sehingga kini. Mesej juga tidak berbalas.

“Bila dihubungi (di pejabat) sentiasa dalam mesyuarat dan telefon bimbit pula tidak berjawab. Saya kesal jika begini bagaimana nak bangunkan sukan sepak takraw negara,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Ahmad menegaskan, tindakan JHEAINS tidak melepaskan Mohd Hafizul merugikan apabila pemain perejam itu tidak berpeluang menjalani latihan pembinaan kekuatan dan daya ketahanan diri yang disokong Institut Sukan Negara (ISN).

“Akibatnya, pemain terbabit ketinggalan banyak dari segi latihan kini menumpukan bina kekuatan dan ketahanan bersama ISN.

“Apabila lambat masuk kem latihan berpusat, dia hanya dapat ikuti latihan dalam gelanggang saja dan ini rugi dari segi persiapan peribadi dia,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, 15 daripada 24 pemain terbabit akan digabungkan dalam skuad A dan menjalani latihan bagi meningkatkan prestasi di German-Malaysian Institute (GMI), Bangi, selain di Korea Selatan pada Jun manakala bakinya kekal di Majlis Sukan Negara Keramat, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama, ketua jurulatih sepak takraw Malaysia, Abdul Talib Ahmad turut berharap Mohd Hafizul dilepas secepat mungkin oleh majikannya untuk latihan skuad kebangsaan.

“Dia dalam kategori kumpulan A dan pemain terbaik Liga Sepak Takraw 2018 yang penting untuk kita membentuk pasukan terbaik,” katanya.

Katanya, antara kejohanan antarabangsa bakal disertai anak buahnya termasuk di Pakistan pada akhir April, China (Jun) dan di Malaysia pada Julai selain Piala Raja Thai.

“Persiapan skuad ini berjalan lancar tambahan pula kerjasama rapat antara jurulatih dan PSM. Komitmen pemain setakat ini makin baik terutama selepas menang emas di Sukan Asia 2018,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 7:00am
d