arena

VAR bantu Porto singkir Roma

Oleh AFP

ALEX Telles meledak menerusi sepakan penalti selepas penggunaan VAR pada masa tambahan ketika FC Porto menewaskan AS Roma 3-1 di Portugal awal pagi tadi untuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara susulan kemenangan agregat 4-3.

Francisco Soares meletakkan Porto di depan dengan tampanan mudah pada minit ke-26, namun Daniele De Rossi menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum rehat selepas Eder Militao menjatuhkan Diego Perotti.

Moussa Marega kembali meletakkan Porto di depan pada awal babak kedua di Estadio do Dragao untuk terikat 3-3 secara agregat apabila dia menyumbat gol keenam berturut-turut pada penampilan di Eropah.

Tambahan setengah jam diperlukan untuk menentukan keputusan aksi kedua, pusingan 16 terakhir itu yang kelihatan menuju ke penentuan penalti sebelum Telles merembat masuk sepakan penalti pada minit ke-117 selepas Alessandro Florenzi menarik Fernando dan memerlukan reviu penolong pengadil video.

Jurulatih Porto, Sergio Conceicao, bekas pemain di kelab musuh setempat Roma, Lazio, menegaskan pasukannya perlu bersabar untuk mengatasi defisit 1-2 selepas aksi pertama di Rome.

Ketika penentuan penalti semakin menghampiri, Porto bagaimanapun meraih gol kemenangan dramatik selepas pengadil dari Turki, Cuneyt Cakir mengarahkan sepakan penalti susulan reviu insiden itu yang mana Florenzi menjatuhkan Fernando dari belakang ketika pemain gantian itu cuba menyambut hantaran leret.

Telles mengelirukan penjaga gol Roma, Robin Olsen untuk membantu Porto layak ke suku akhir kali pertama sejak 2014-15, sekalipun tuan rumah berdepan saat mendebarkan apabila penyerang Roma, Patrik Schick dijatuhkan dalam kotak penalti sebelum Cakir memutuskan tiada kekasaran.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 7:42am
d