arena

Pengadil tak tahu bola: Neymar

Oleh Agensi

BINTANG Paris Saint-Germain, Neymar melahirkan rasa kecewanya dengan sepakan penalti saat akhir yang menyebabkan pasukannya tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Manchester United, awal pagi tadi.

Pengadil Damir Skomina mengkaji VAR sebelum menghadiahkan United sepakan penalti selepas percubaan Diogo Dalot terkena lengan pertahanan PSG, Presnel Kimpembe.

Marcus Rashford tampil menyempurnakan sepakan penalti itu dengan United menang aksi itu 3-1 dan layak menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas keputusan agregat terikat 3-3.

Neymar, yang tidak boleh beraksi kerana kecederaan kaki, berang dengan keputusan itu dan kelihatan melahirkan kemarahannya di tepi padang pada babak akhir perlawanan.

Pemain kebangsaan Brazil itu kemudian menyelar keputusan Skomina di laman Instagram, mendakwa beliau dan pegawai lain yang terbabit ‘tidak faham mengenai bola sepak’.

Tulis Neymar: ‘Ini amat memalukan!

‘Dan masih ada 4 lelaki yang tidak memahami bola sepak melihat kepada ulang tayang video perlahan, ini tidak patut berlaku!

‘Bagaimana dia mahu mengelak tangannya apabila ia terkena bahagian belakangnya!

PSG turut tersingkir pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara musim lalu selepas tewas kepada juara sebenar Real Madrid.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 11:27am
d